Monday, 25 July 2011

Kehebatan Doa

Kehebatan Doa

alt
Kali pertama bumi diciptakan, bumi selalu bergoyang, bergoncang dan tidak berputar dengan stabil malah tidak berputar pada paksinya. Pekara ini merungsingkan para malaikat lalu para malaikat menghadap Allah SWT;
"Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui, mengapa bumi ini bergoyang?" Tanya para malaikat.
"Kerana belum dipaku." Jawab Allah singkat.
"Lalu, bagaimana Engkau memaku bumi Wahai Rabb?" Tanya malaikat lagi.
"Aku akan menciptakan gunung-ganang." Jawab Allah.
Setelah itu, Allah terus menciptakan gunung-ganang di berbagai belahan bumi. Apa yang terjadi adalah sememangnya benar setelah diciptakannya gunung-ganang, bumi pun diam kemudian berputar sesuai paksinya. Maka kemudian gunung dikenali sebagai paku bumi yag diciptakan Allah SWT. Paku merupakan benda keras yang terbuat dari besi. Setelah Allah menciptakan paku bumi iaitu gunung-ganang, kemudian para malaikat pun bertanya lagi;
"Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari paku?"
"Ada!" Jawab Allah. "Iaitu api, yang dengan panasnya dapat melelehkan besi."
"Adakah yang lebih kuat lagi selain api, Ya Rabb?" Tanya malaikat.
"Ada! Yakni air yang dapat memadamkan api." Jawab Allah lagi.
"Jadi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari air?" Sambung malaikat.
"Ada! Iaitu angin, yang kerananya dapat membawa air ke mana pun ia berhembus." Jawab Allah lagi.
"Tapi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat daripada semua itu (gunung, api, air dan angin)?" Malaikat bertanya lagi.
"Ada! Iaitu nafas hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku. Kerana sesungguhnya doa itu mampu mengubah takdir-Ku." Demikian Allah SWT menjelaskan..
(Sumber: Hadis Kudsi).
Pelajaran dari cerita di atas: Gunakan kehebatan doa untuk ubah nasib kita!

Awek?

'Awek' Zaman Sekarang

alt
Zaman sekarang bukan main mudah nak dapat 'awek'. Umpama petik jari sahaja dah boleh dapat. Masakan tidak? Kenyit-kenyit mata sikit, bomkan ayat-ayat cinta sikit, 'confirm' dah boleh dapat.
Zaman sekarang bukan main mudah untuk dapat 'awek muslimah'. Mungkin tidak semudah petik jari tetapi kalau bijak bermain kata, cuba ucapkan ayat-ayat berbaur keinsafan sikit, tunjuk gaya penampilan yang nampak alim sikit, ucapkan kata-kata tazkirah 'confirm' dah boleh dapat.
Haih! Inilah yang terjadi apabila terlalu kerap disajikan program-program televisyen (drama/ realiti tv/ filem) yang konon-konon berbentuk keagamaan tetapi banyak yang tidak mengikut syariat.
Bagaimana boleh watak seorang ustaz dipaparkan sedang bercinta dengan seorang wanita 'alim'?  Dan bagaimana pula sekumpulan pelajar Mesir yang ditunjukkan dalam sebuah drama pergi melancong berempat (dua lelaki dan dua perempuan) bersama-sama seolah-olah mereka tidak tahu bahawa perkara-perkara begitu boleh menimbulkan fitnah? (kerana bukan urusan penting)
Patutlah segelintir remaja yang tidak memahami konsep bercinta 'cintun' menganggap bahawa 'couple' itu dibenarkan dalam Islam asalkan tidak pegang tangan dan bersentuhan cukuplah untuk perkara itu menjadi halal.
Tetapi, zaman sekarang bukan main payah untuk kita jumpa dan miliki hati Muslimah Mujahidah Solehah, kerana mereka ini bukan sebarang wanita.
Mereka ialah wanita-wanita yang berpegang pada prinsip hidup! Bagi mereka ketegasan terhadap kaum Adam itu adalah satu mutiara dalam hidup mereka, sifat manja (gedik) terhadap kaum adam yang ajnabi langsung tidak akan wujud dalam diri mereka!
Inilah contoh Muslimah Mujahidah Solehah! Jadi, wahai kaum hawa buatlah pilihan untuk berada di golongan wanita yang bagaimana. Saya yakin! Anda sudah mampu berfikir yang baik dan buruk tentang sesuatu perkara.

Syurga Dan Neraka?

Yang Mana Satu Idaman Kalbu?

1
Sabar dan syukur. Dua elemen yang cukup penting dalam kehidupan kita. Tapi seringkali kita terlupa.
Syukur itu biasanya terucap bilamana kita dapat apa yang kita inginkin. Sedangkan nikmat Allah itu datang setiap ketika. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Hari ini kita bicara tentang perjuangan. Perjuangan itu tidak mudah. Tapi bukanlah susah. Perjuangan menuntut kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Perjuangan bukan untuk semua orang. Ianya khusus untuk mereka yang ingin berjuang!
"Tension seh...buat program orang tak datang..."
Keluhan yang sentiasa kedengaran. Kadang-kadang rasa kecewa melanda jiwa. Mana tidaknya, masa dan tenaga yang dicurahkan semacam sia-sia. Tidak ada hasil. Tidak balik modal kata orang.
Tapi duhai sahabatku, usaha dan tenaga kamu bukanlah sia-sia. Ada harga di sisi Allah s.w.t. Hidayah itu milik Allah s.w.t. Ingatkah kita akan bapa saudara Nabi yang matinya dalam kekafiran. Doalah dan terus istiqamah dalam perjuangan.
"Islam itu perjuangan...buka mata dan terus berjuang"
"Jangan lemah semangat!"
Dua amanat yang ku pegang erat. Kata-kata azimat dari Tuan Guru Nik Aziz yang padaku cukup bermakna. Seorang yang mewakafkan hidupnya kepada perjuangan sepenuhnya. Hari cuti,hari orang berehat bersama keluarga, tapi Tuan Guru tetap ingin bertemu rakyat jelata, mengajarkan ilmu demi Islam yang tercinta. MasyaAllah. Terima kasih Tuan Guru. Semoga Allah merahmatimu.
"Sesuatu yang bernilai pasti mahal harganya. Maka harga syurga itu bukan murah syeikh. Orang cakap nak masuk syurga, tapi usaha takde. Tak pelik. Ramai orang mengidam nak beli kereta mewah-mewah, tapi usaha takde. Cakap kosong je. Last-last...pakai kereta second hand je"
Demikian peringatan kepada ku. Dalam maknanya. Cantik untuk direnung bersama.
Hidup ini ada dua pilihan; Syurga atau Neraka. Jika kita pilih Syurga, kita lepaskan Neraka. Tapi jika kita pilih Neraka, kita lepaskan Syurga. Nauzubillah.
Mahu tidak mahu, pilihan mesti dibuat, dan kitalah yang membuat pilihan itu. Yang mana satu idaman kalbu? =)

Apa Ertiku Menuntut Ilmu ?

Apa Ertiku Menuntut Ilmu ?

alt
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyur pernah menyebut ;
"Tarbiyyah (pendidikan) bukan segalanya-galanya, tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah."
Kadang-kadang kita mengeluh mengapa kita perlu belajar tinggi-tinggi?
Kita hanya belajar untuk peperiksaan yang bakal tiba.
Kita hanya belajar untuk memuaskan hati ibu bapa.
Kita hanya belajar untuk dipandang tinggi oleh masyarakat.
Satu pertanyaan diajukan oleh golongan wanita.
Katanya buat apa belajar tinggi-tinggi, lepas kahwin jadi surirumah juga?
Namun ada yang kata dunia hari ini berbeza, lelaki & wanita sama saja.
Bila berumahtangga apa susah, masing-masing urus kerjaya sendiri.
Bila datang cahaya mata, masing-masing tak nak mengalah, kerjaya masing-masing dipertahankan, anak yang dianugerahkan dianggap musibah.
Akhirnya dengan sifat penyayang si ibu pasti mengalah.
Akhirnya sama saja wanita tetap jadi surirumah.
Sedikit portion adalah sebaliknya, lelaki yang jadi surirumah.
Tapi hakikatnya tetap wanita majoritinya.
Ada satu kata-kata Ibu yang bijak mengajar anak daranya,
"Jangan anggap wanita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, walau kebanyakan akan jadi surirumah, tapi ingatlah anakku, ia pasti berbeza cara dan kualiti, seorang ibu yang tinggi pelajaranya dengan yang sebaliknya, yang mana akan melahirkan insan yang berguna?"
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui"
(QS 39 : 9)
Bagi lelaki pula jangan gembira, jangan menyangka wanita belajar nampak tiada gunanya. Bagaimana dengan diri anda?Mengapa wanita selalu lebih banyak, terutama di peringkat IPT? Ada yang kata dunia nak kiamat, ada yang kata lelaki is more to practical, not theoratical. Itu pasal habis SPM kami terus masuk bekerja. Tidak payah nak belajar tinggi-tinggi, buang duit bayar yuran pengajian. Kalau bekerja dapat sebaliknya, dapat kumpul duit itu yang utama. Diri pun nampak matang, kerana sudah bekerjaya.
Tidakkah dirimu nampak kurang matang, kerana pemikiranmu tersangkut hanya sampai di masa itu. Tidakkah kau lihat masa hadapan, perluaskan minda melihat semuanya - mana yang nampak mulia, fikirkan dengan minda yang berwawasan,
orang berilmu, belajar tinggi-tinggi, terutama jika ilmu yang diredhai, bukan semua ilmu dipelajari dapat redha yang Maha Mengetahui.
Ingatkah ketika Ibnu Athaillah mengatakan, dalam kitabnya Al-Hikam,
"Ilmu yang paling baik adalah yang disertai khasyyah."
Khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang disertai mengagungkan Allah. Maka segala jenis ilmu yang tidak mendatangkan rasa takut kepada Allah dan juga tidak mendatangkan pengagungan kepada Allah tiada kebaikannya sama sekali"
Itulah kata-kata indah dari seorang Tokoh. Satu persoalan yang sering bermain di fikiran. Bagaimana nak belajar kerana Allah, untuk mendapat redhanya?
InsyaAllah inilah jawapannya.
Untuk mengetahui ilmumu bermanfaat atau tidak, cukuplah kau lihat bekasnya. Jika dengan itu kau semakin takut kepada Allah dan semakin baik ibadahmu kepada-Nya, maka itulah tanda ilmumu benar-benar bermanfaat. Jika sebaliknya maka berhati-hatilah.
Ini semua bermain dengan niat, satu benda yang sukar dijaga. Pengikhlasan niat hanya pada-Nya, paling kurang 5 kali ikrar diulang setiap hari. Semuanya hanya untuk Allah Azza Wa Jalla,
"Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."
(QS 6 : 162)
Di mana kita selama ini? Ilmu apa yang kita tuntut? Jangan ingat hanya ilmu agama sahaja yang nampak diredhai.
Walau Rasulullah pernah bersabda, buat renungan kita semua;
"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din"
Jangan kita berfikiran sempit, mentakrifkan ilmu agama sahaja yang akan diredhai. Tidakkah kau mengetahui, ilmu lain nampak dibayangi, seperti sains dan astronomi, tidakkah itu cara untuk mendekati kepada Ilahi. Ilmu lain boleh didasarkan pada niat yang hakiki, menambah ilmu untuk menjadi seorang pengabdi, kepada Tuhan Rabbul 'Izzati. 

Kenapa Subuh Petanda Kekuatan?

Kenapa Subuh Petanda Kekuatan?

alt
Waktu subuh adalah waktu perdana kepada kehidupan buat seseorang insan. Inilah waktunya apabila bermulanya kehidupan setelah insan mati buat sementara. Tidak menghairankan bahawa waktu subuh adalah salah satu daripada lima waktu solat yang wajib disempurnakan.
Waktu subuh hari adalah ujian kepada segala kekuatan. Kekuatan untuk bangun di awal pagi melepaskan diri daripada dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut hangat dan bantal empuk, malahan kekuatan untuk mengenakan air yang dingin ke muka, tangan, dahi dan ke kaki sebelum lantas bergerak ke tempat istimewa dan bermunajat bersama-sama insan pilihan Tuhan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi dia mempunyai keinginan jiwa yang tinggi.
Perkara yang sama ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang ketika berlakunya peperangan-peperangan besar di zaman yang terdahulu. Kekuatan kebangkitan dan kekuatan barisan ketenteraan bukanlah kepada fizikal dan persiapan kelengkapan semata-mata, malahan persiapan yang lebih penting ialah persiapan kekuatan generasi pejuang di dalam menagih simpati untuk menang daripada Ilahi.
Tidak hairanlah bahawa inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Solahuddin al Ayyubi dahulunya sebelum menang ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara-negara Eropah.
Tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan tentera baginda al-Fateh. Mungkin juga kita dan barisan pemuda kebangkitan kini bakal berada di barisan tercorot sekali.
Di atas alasan yang sama inilah juga menyebabkan agen-agen KGV di Chechnya dan agen-agen Gaddafi di Libya akan menangkap pemuda-pemuda yang bersolat subuh secara berjamaah dengan keyakinan bahawa mereka adalah pemuda kebangkitan yang bakal menggegarkan kerajaan Russia dan Libya.
Setelah kau berkeringat menyiapkan semua kelengkapan. Setelah kau canangkan semangat ke seluruh negara. Setelah kau iklankan kepada dunia seluruhnya. Namun, jangan lupa untuk menagih simpati dan pertolongan daripada Pemberi Kemenangan yang hakiki.
Wahai teman seperjuangan ! Sekiranya kita ingin memiliki kemenangan, jangan alpa dengan kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan nyata bahawa ianya merupakan petunjuk agung ciptaan Ilahi. Untukmu teman pejuang, inilah permulaan kepada semua kekuatan yang sebenar.
Ingatlah sumpahan Pemilik kepada segala kerajaan agar kita bisa meraih kemenangan.

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

alt

"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.
Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.
Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.
"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.
Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.
"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.
"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.
Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.
"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.
"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!
Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini.
"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.
"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.
Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.
Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."
Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.
"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."
Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.
Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.
"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra. Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."
Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.
"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh. Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"
Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.
"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."
Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.
"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.
"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.
"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.
"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.
Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.
"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah." 
Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)

"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.

"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.
Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.

"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)

Selamat Hari Jadi Isteriku!

Selamat Hari Jadi Isteriku!

alt
Wahai Isteriku, semoga Allah sentiasa merahmatimu! Pesanan ikhlas daripada Abang untuk dirimu yang bergelar isteri..
Sayangku, sesungguhnya...
-Semakin meningkatnya usia kita, maka semakin dekatlah kematian menjemput kita.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin jauhlah kita daripada masa lampau kita.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin matanglah pemikiran kita.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin banyaklah tanggungjawab kita kepada manusia.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin banyaklah soalan yang akan diajukan kepada kita oleh Allah Azza Wa Jalla di Yaumul Qiamah.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin bertambahlah juga amanah dan tanggungjawab kita kepada suami, isteri, anak-anak dan keluarga.
-Semakin bertambahnya usia kita maka semakin hampirlah kita kepada hari yang dijanjikan Allah yaitu Yaumul Zalzalah.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin banyaklah catitan amalan  daripada Malaikat Roqib dan Atid petugas Allah.
-Semakin bertambahnya usia kita, maka semakin dekatlah masa penantian Malaikat Izrail Alaihissalam  menjemput kita.
Oleh itu isteriku, dengarlah nasihat daripada suami mu ini...
-Sekiranya usiamu bertambah tetapi tidak bertambahnya kebaikanmu kepada Allah, maka ketahuilah kamu telah jauh kepada Allah.
-sekiranya usiamu bertambah tetapi tidak bertambahnya iman, ilmu serta amalan takwamu kepada Allah, maka ketahuilah hidupmu tiada makna.
Demikian itu isteriku...
Jagalah beberapa perkara ini, biar seiring dengan usiamu,
-Perbanyakkanlah mengingati Allah, kerana dengan mengingati Allah hidupmu pasti Qona'ah.
-Perbanyakkanlah membaca Al-Quran n maknanya, Kerana Dengan membaca Al-Quran hidupmu penuh dengan barakah serta panduan hidayah.
-Perbanyakkanlah selawat keatas Nabi Muhammad S.A.W, kerana dengan perbanyakkan selawat serta mencontohi akhlak perilakunya, hidupmu akan selamat dan tidak akan tersesat dari hidayah Allah.
-Perbanyakkan patuh dan taat pada suamimu, kerana kau adalah amanah Allah buatnya, kerana dengan kepatuhanmu seperti itu akan membuatkanmu berbahagia sampailah ke Jannah.
-Perbanyakkan bangun di sepertiga malam solat tahajjud bermunajat kepada Tuhanmu, kerana dengan itu kau pasti mendapat kemanisan Iman yang kuat n teguh kepada Allah.
-Perbanyakkanlah menutup keaiban suamimu kerana dengan itu, Allah akan menutup keaibanmu di dunia dan di Akhirat ketika dihimpunkan manusia di Mahkamah Allah.
-Perbanyakkanlah berdiam ketika suamimu sedang mengalunkan nasihat berhikmah padamu, kerana dengan itu membuatkan suamimu tenang dan menfirasatkanmu sebagai isteri yang taat dan patuh.
-Perbanyakkanlah mendidik amanah anakmu dengan Syariatillah Azza Wa jalla, kerana dengan itu hidupmu akan sentiasa diawasi, dilindungi serta di jaga Allah. (Ihfazillah Yahfazka)
-Perbanyakkanlah mengingati Mati kerana dengan itu akan melembutkan hatimu serta dapat mematikan keinginanmu kepada dunia yang bakal hancur dan musnah !
-Perbanyakkan kemesraanmu bersama sahabat-sahabatmu dan menyambungkan silaturrahim bersama ahli keluarga terdekatmu, kerana dengan itu hidupmu tiada dibelenggu musuh.
-Perbanyakkan rasa ikhlas dalam berniat melakukan amal ibadah kepada Tuhanmu sebagai bekalan menuju Allah Di Yaumul Qiamah.
-Perbanyakkan mengamalkan zikir n tasbih Fatimah Az-Zahrah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar kerana ia adalah nasihat berharga dari Rasulullah S.A.W untuk meraih inayah Allah sebagai amalan bagi wanita Muslimah.
" Ya Allah jadikanlah hubungan kami hubungan yang mesra dan indah,
 yang boleh melahirkan kebahagiaan mawaddah wa rahmah,
Di dunia dan di yaumul qiamah, agar kami dapat memasuki JannahMu ya Allah." Amin !
" Semoga kau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, bertambahnya iman dan amalan untuk mendekatkan diri kepada Yang Di Kasihi Iaitulah Robbul Izzati Dan Rasulullah Yang Dirindui "
Selamat Hari Jadi Wahai Isteriku !
Ikhlas Dari Suamimu

Andai Dia Pergi Dahulu Sebelum Mu

Andai Dia Pergi Dahulu Sebelum Mu

alt
Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya... kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala... yang mengalir selamanya..
Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah.
Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah... diadukan kesedihan kepada Allah.
Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam.
Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya.
Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi... tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah "pemutus" segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.
Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah... Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.
Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan... ketika itulah baginda menyebut,
"rafiqil a'la, rafiqil a'la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!"

Dalam "kamus" kehidupan  para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa.
Namun begitu,  di saat sakaratul yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat.

Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita...

 umat yang akan ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba.

Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan  oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
"Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: "Mengapa engkau tidak kerjakan?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: "Mengapa ada pula barang ini?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:"Alangkah baiknya kalau barang itu ada." Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: "Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!"
Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat , ana abdullahi walan yudhi'ani , aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!"

Friday, 15 July 2011

Lawan Hawa NafsuMu...

Bagaimana keadaan kita jika terlihat  seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau  tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya  lipan atau bahaya harimau?
Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk  menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi  gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau.
Begitulah perumpamaan  antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan  menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga  di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak  dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah  melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah  angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa  kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin  dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan  membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang  bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat?
Begitulah  bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun  tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu.
Pagar  itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita  terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.
Kuasai Nafsu, Kuasai Dunia
"Jika kita menguasai diri, kita akan  menguasai dunia," demikian kata cerdik pandai.
Tetapi bagaimana pula  kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai  dunia.
Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah  'hamba' yang baik tetapi 'tuan' yang sangat jahat. Orang yang berjaya  adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada  tipuannya.
Firman Allah: "Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya." (Surah al-An'am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki  kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh  sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, "siapa kamu?"
Petani yang soleh  itu menjawab, "aku seorang raja."
Raja tertawa, kemudian terus berkata  dengan nada menyindir, "raja kerajaan mana?"
Petani menjawab, "raja  untuk kerajaan diriku."
Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula  bertanya, "adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?"
Raja terus  terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita  sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil  kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya.
Kuasa, ilmu, harta dan nama  yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya  hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu.
Hal ini kerana nafsu itu  sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang  yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana  ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang  tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan  didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan  dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan  dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita.
Akibat gagal  menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia.
Selain itu cintakan dunia akan  menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah  kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf; cinta dunia itu  adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak  lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba  Allah manusia mestilah menguasai dirinya.
Inilah yang dibimbangkan oleh  Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:
"Bagaimana akan  terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam  cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada  Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?"
Manusia Dan Mujahadah
Seterusnya, apakah yang dimaksudkan  dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan  nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan  perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu  sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri  kita.
Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:
1. Telah menyerah kalah.
Golongan ini tergolong dalam mereka yang  dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama  sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah  mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: "Maka, pernahkah kamu  melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan  Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jatsiyah: 23)
2. Sedang dan sentiasa berperang.
Golongan ini terdiri daripada mereka  yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya  dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang  berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh  Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: "Berjuanglah kamu  melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu."
3. Orang yang telah menang.
Golongan itu terdiri daripada mereka  yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara  daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan  maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan  jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian.  Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.
Erti Mujahadah dan Kepentingannya
Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal,  mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar  menjadi hamba Allah.
Demikian yang dapat difahami daripada kaedah,  "tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka  sesuatu itu juga menjadi wajib."
Berdasarkan itu, jika kita tidak  berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu  hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak  Allah? Firman Allah:
"Dan adapun orang-orang yang takut kepada  kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh  syurgalah tempat tinggalnya" (Surah al-Naziat: 40-41)
Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah.
Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:
"Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa." Baginda juga bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."
Mujahadah bermaksud berusaha untuk  melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.
Istilah "mujahadah" berasal  daripada kata "al-jihad" iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan  dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain,  seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya  demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.
Inilah  maksud kata-kata Imam al-Ghazali: "Antara tanda kecintaan hamba  kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada  kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."
Selain itu ilmu, taktik dan strategi  melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika  dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono.  Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa  kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan  lagi.
Ironinya, jika dengan musuh zahir yang  jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan  jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan  banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa  nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak  indah sahaja.
Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya,  yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w.  bersabda:"Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya."
Prinsip Asas Dalam Melawan Hawa Nafsu
Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan  nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti  perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin  misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:
1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar  itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya  tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa).
Oleh  sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun.  Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka  yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka  menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak  makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat.  Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga  daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata  yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.
Semua  ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan  menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai  akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
2. Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai  kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah  dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang  berbentuk fardhu dan sunat.
Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam  kaedah ini semata-mata untuk 'menyeksa' nafsu. Bukan sahaja solat lima  waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan  hawa nafsu.
Begitu juga dengan zikrullah yang lain  seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang  bersumberkan al-Quran,  hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan  syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid).
Begitu  juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan  lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita  dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan.
Ingatlah  nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah  yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan  jangan dibatasi oleh rasa puas.
3. Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah  dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.
Nafsu itu  makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia  untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).
Bahkan, usaha awal kita untuk  memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan  interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika  Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah.  Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan  Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:
"Wahai Muaz, aku sangat cinta  kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa  berdoa kepada Allah dengan doa ini:
"Ya Allah, bantulah aku  mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk  mmperbaiki ibadah kepada-Mu."
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah:
"Ya  Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku.  Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah  pelindungku dan pemimpinku."
Langkah-Langkah Jalan Mujahadah
Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:
1. Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah  dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib.
Kita mesti  mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui  sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para  ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya  tersendiri.
2. Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.
Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja  tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya.  Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada  keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh?
Ilmu  bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih  penting untuk diamalkan.
3. Mempraktikkan ilmu.
Inilah tahap yang paling sukar tetapi  inilah tahap yang paling penting.
Perkara ini memerlukan satu iltizam  yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang  disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan  tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan  tetapi masih tega melakukannya.
Semua itu kerana mereka belum 'mahu',  dan baru sekadar 'tahu'.
Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar  manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita  pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal  dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu 'tahu' tempat letakkannya  di akal tetapi 'mahu' itu letaknya di hati.
4. Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.
Ramai juga orang yang telah tahu dan  mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama,  mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar  "hangat-hangat tahi ayam". Mereka tidak berdaya untuk konsisten  (istiqamah) dalam kebenaran.
Apa yang perlu ialah latihan yang  berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke  tahap kemampuan.
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat  dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali  gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.
Latihan menundukkan  hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah  selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
"Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit."
"Alah bisa, tegal biasa," begitulah  nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan  terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan.
Sampai ke tahap  ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda  tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada  racun, di situlah juga ada penawarnya.
Sebab itu ditegaskan  berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.
Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan  membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.
Nafsu  seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan,  keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan  kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada  pembangunan ummah.
Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi  tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan,  industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang  bioteknologi dan sebagainya.
Manusia yang dibekalkan dengan unsur  nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka  bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini  dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.
Sebaliknya, malaikat  tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang  keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan  jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa  akal).
Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah  jalan mujahadah.
Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun  itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.
Tidak ada jalan pintas!

Thalabah pemuda bercita syurga???

Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Friday, 8 July 2011

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?
 
Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?

"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:

  • "Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
  • "Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2

Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

Kesembuhan Itu Milik Allah

Kesembuhan Itu Milik Allah
Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Kata-kata yang telah dijadikan perangsang bagi memotivasikan diri sendiri dan insan lain yang sedang sakit dalam menghadapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Begitulah antara ujian kecil berupa penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan insan yang telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.
Sesungguhnya penyakit yang diturunkan oleh Allah ini banyak menguji ketahanan fizikal dan mental, kerana tempoh  tersebut merupakan titik tolak ke arah kesedaran bahawa kematian akan mengejar kita bila-bila masa sama ada bersedia atau tidak.

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [al-Nisaa' 4:78]



Mengingati saat menziarahi jenazah suami kepada seorang sahabat yang meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas telah banyak mengubah paradigma tentang kematian itu sendiri. Sama ada kita bersedia atau tidak, bertaubat atau belum bertaubat, ajal itu pasti akan datang, cuma waktu dan ketikanya sahaja tidak diketahui. Cuma persoalannya, adakah kita telah bersedia dengan bekalan-bekalan yang disediakan? Adakah cukup bekalan yang disediakan? Bagaimanakah keadaan kita semasa dalam alam kubur? Bernasib baik atau sebaliknya?
Hal ini sedikit sebanyak telah menghantui diri sendiri sehingga telah mewujudkan suatu ketakutan yang luar biasa dalam diri. Hal ini ditambah pula dengan penyakit yang dialami yang masih tidak sembuh-sembuh, telah meningkatkan lagi tahap ketakutan dan pada masa yang sama telah mewujudkan satu situasi yang tegang dalam emosi, fikiran serta memberi tekanan kepada diri sendiri.
Namun begitu, ketahanan mental dan fizikal berteraskan ayat-ayat Allah telah berjaya mengatasi masalah tekanan tersebut sehingga dapat kembali mewujudkan satu senario yang aman dan tenang hingga kembali semula kepada keadaan asal. Mengingati mati dapat melembutkan hati, tetapi apabila mengingati kematian itu secara negatif, hal ini akan dapat memberikan kesan negatif kepada diri sendiri.
Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, menyerahkan segala-segalanya kepada Dia, berdoa bersungguh-sungguhnya kepada-Nya, Sesungguhnya Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan mengabulkan dan memperkenankan doa kita. Berusaha, berdoa,berserah, bertawakal itulah tanda pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya.

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]

Segala masalah penyakit, rujuklah kepada Allah. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan juga tidak berlaku dengan izin Allah. Kita perlu berikhtiar, berusaha dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan tetapi semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.
Kuasa penyembuhan semuanya dari Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan apa yang ditetapkan kerana setiap apa yang diturunkan kepada kita adalah ujian, sama ada kita dapat redha menerima atau tidak, semuanya untuk meningkatkan darjat kita di samping membersihkan dosa-dosa yang dilakukan.
Tidakkah semua ini adalah rezeki dari Allah, dimana Dia sering memberi perhatian kepada kita, tidakkah ini akan membuatkan kita sentiasa ingat pada-Nya? Anggaplah suatu penyakit itu sesuatu yang positif kerana jika kita redha dengan suatu ujian, Allah akan melipat gandakan pahala kita.Semoga anda semua cepat sembuh begitu juga diriku ini.
Adalah diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada semua dan marilah kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kelalaian dan kelekaan terhadap duniawi pasti mewujudkan satu jurang yang besar dalam diri kita sendiri dengan Allah.Semoga artikel ini akan menjadi saksi bagi diriku di akhirat kelak sebagai salah satu medium untuk berdakwah kepada pembaca semua.
Redhalah dengan ujian yang kecil ini kerana ujian itu adalah hadiah dan cinta dari Allah. Bersabarlah dengan penyakit yang menimpa ini dan yakin akan sembuh kerana sesungguhnya kesembuhan itu milik-Nya, tiada apa yang kita cari melainkan dalam kembara hidup ini selain memburu cinta dan rindu-Nya.
Ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana penyakit yang ditimpakan kepada diriku tidaklah sehebat penyakit kritikal yang dihidapi oleh insan lain, walaupun kecil, penyakit ini tetap memberi kesan yang kuat terhadap sistem ketahanan fizikal disamping memberi tekanan yang hebat terhadap mentalku. Aku bersyukur aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udaranya yang segar ini. Berusaha, berdoa dan bertawakal itulah kekuatan sebenarnya dalam penyembuhan penyakit ini. Yakin dan positiflah dengan ujian penyakit yang diturunkan kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]

Akhir kata, jadikan ayat-ayat Allah sebagai peransang dalam meningkatkan motivasi dalaman kita dalam membentuk keperibadian soleh dan solehah.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]

Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu. Semoga Dia yang sangat kita cintai dan kita rindui akan tetap terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Wallahua'lam.