Tuesday, 4 October 2011

Lelaki Dan Wanita Perlu Saling Memahami...


Dalam artikel lepas, kami mengemukakan satu situasi antara Budin dan Hana. Memang kadang-kadang perselisihan faham antara suami isteri berlaku, walau pun dengan alasan yeng remeh. Masalah-masalah seperti tidak sangkut kain pelekat, kopi kurang gula, lupa tutup suis lampu pun boleh jadi punca 'perang' suami isteri. Selain faktor gagal mengawal kemarahan, tidak ada kesabaran, mulut laser, dan lain-lain, kami mahu melihat pula dari sudut lain. Sudut perbezaan antara jantina, seorang lelaki dan seorang wanita.
Ini anugerah Allah. Sengaja Allah jadikan kita berbeza, agar kita mencedok manfaatnya. Dan, Allah minta pula agar kita saling kenal-mengenali. Dalam al-Quran Allah sebutkan bahawa manusia dijadikan dengan lelaki dan wanita ini adalah 'li ta arafu' untuk kenal-mengenal.
Berbalik kepada kisah Budin dan Hana. Budin yang keletihan dari pejabat mengharapkan kerehatan, dengan kopi yang lazat, isteri yang tersenyum dan anak-anak yang ceria. Mindanya mengharapkan kerehatan. Dia mahu rehat dengan membaca surat khabar dan menonton TV. Agar suis fikirannya dapat di'off' dari hal ehwal pejabat. Mindanya mahu dikosongkan dari berfikir tentang 'masalah'. Itu harapannya.
Namun Hana telah lama menunggu kepulangan suami tersayang. Hatinya bagai empangan yang nak pecah. Mahu diceritakan kepada suaminya apa yang bergolak dalam hatinya. Masalahnya di tempat kerja tadi betul-betul membuat emosinya terganggu. Dia mengharap ketenangan dengan kehadiran suaminya yang bukan sahaja mendengar masalahnya, bahkan menyokongnya menghadapi Salmah yang menghantui perasaannya. Nah, bila Budin muncul inilah harapannya untuk merungkai kekusutan emosinya. Lantas, dicurahkan perasaan sedih bercampur geram, pilu berbaur marah; dengan harapan agar suaminya yang tersayang itu mendengar dengan penuh penghayatan.
Hana mengharapkan perhatian. Agar Budin memahami keperitan jiwanya. Agar Budin menghayati 'deritanya' sepanjang hari itu. Itulah ubat yang dapat menyembuhkannya. Dia akan gembira jika Budin menunjukkan minat dan perhatian atas ceritanya. Itu tanda cakna. Dia mahu bercerita sepuas-puasnya. Hingga lega. Jika Budin menyatakan sokongan dan turut menyatakan marahnya terhadap Salmah, itu adalah ubat tambahan yang mempercepatkan kelegaannya.
Hana tidak mengharapkan cadangan penyelesaian. Dia tidak faham kenapa Budin terlalu cepat menyatakan penyelesaian. Baginya itu tanda Budin tidak mahu mendengar luahan perasaannya. Budin tak prihatin dengannya. Budin tak sayang lagi kepadanya.
Budin pula sebenarnya sayangkan Hana. Siapa tak sayang bini, fikir Budin. Bila isterinya menceritakan masalah, dia mendengarnya. Sambil itu, fikirannya ligat berfikir. Baginya, bila masalah diceritakan, cadangan penyelesaian diharapkan. Tak mungkin Hana sekadar bercerita tanpa mengharap 'sumbangannya'. Bagi Budin, sumbangan yang wajar pada masa itu ialah mencadangkan cara untuk menghadapi masalah itu. Bila Hana mula mengulang-ulang perkara yang sama, Budin menganggap itulah masanya dia bersuara. Lantas dengan cekap dia menjelaskan kaedah menyelesaikan masalah itu. Satu per satu. Namun, sebaliknya Hana enggan melayan cadangannya, bahkan menuduh bahawa dia tak lagi sayang kepadanya.
Bagi Budin, bila Hana menceritakan masalah, bermakna Hana mengharapkan pandangannya. Sebagaimana dia dan kawan-kawannya dulu, setiap kali kawannya menceritakan masalah, dia tak akan mensia-siakan. Dia akan memerah otak untuk mencari jalan penyelesaian. Kawannya juga banyak membantunya memberikan pandangan jika dia ada masalah. Baginya setiap orang yang bercakap mesti ada tujuannya.
Tambahan pula, dia amat letih. Fikirannya tak mempu mendengar terlalu banyak masalah. Dia mahu rehat dari mendengar masalah. Baginya masalah adalah untuk diselesaikan, bukan untuk diheboh-hebohkan.
Bagi Hana pula, dia mengharapkan perhatian dari Budin. Dia bercakap kerana mahu meluahkan perasaannya. Jika Budin mendengar dengan penuh perhatian dan sokongan, dia akan lega. Masalahnya sudah hilang dengan cara itu. Dia tidak minta cadangan Budin. Jika dia mahukan cadangan Budin, dia akan nyatakan dengan jelas. Contohnya dia akan berkata: "Abang, apa pendapat abang? Apa yang patut Hana buat?".
Dari sinilah perlu kenal-mengenal. Lelaki perlu memahami bahawa wanita amat perlukan komunikasi untuk meluahkan emosinya. Wanita akan lega jika emosinya dibelai dan disokong. Wanita perlu pula memahami lelaki. Biasanya orang lelaki akan bercakap untuk sesuatu tujuan tertentu. Fikiran lelaki akan ligat memikirkan penyelesaian apabila diceritakan sesuatu masalah. Kelemahan lelaki ialah mereka kadang-kadang cepat terbeban dengan luahan emosi yang berlebihan. Ini kerana lelaki biasanya lebih lambat untuk memproses maklumat dan meluahkan sesuatu yang berunsur emosi.

No comments:

Post a Comment