Apabila Terpaksa Memilih Antara Dua..
Pusing kiri tidak kena, pusing kanan pun tidak kena. Malam sudah hampir berlabuh, pagi sudah hampir memperlihatkan dirinya, namun kedinginan malam ini tidak sedikit pun mampu mendodoikan aku.
Sudah puas ku cuba untuk melelapkan mata ini walaupun sekejap cuma, namun diriku masih tidak mampu mengalihkan perhatian mindaku ini yang masih ligat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahanku.
Kualunkan zikir-zikir hingga membasahi bibirku namun masih belum juga mampu untuk melenakanku. Ternyata begitu seksanya apabila nikmat Allah S.W.T itu telah ditarik. Aku menangis. Ya Allah, betapa sukarnya untuk membuat pilihan . Apa juga keputusan yang ku buat, pasti ada hati yang bakal terluka, walau hakikatnya aku lah yang pertama akan merasai luka itu.'Aku buntu Ya Allah,"
Kubangkit dari tempatku berbaring lalu mencapai buku kecil yang pernah kubeli suatu ketika dahulu, namun tidak pernah kuteliti isi kandungannya. Ia bertajuk 'MISTERI SOLAT SUNAT ISTIKHARAH'. Setelah berwuduk, aku menunaikan solat sunat istikharah itu, buat pertama kali dalam jiwaku terasa gementar saat bibir melafazkan niat, menyatakan tujuan bertemu Allah di saat manusia lain sedang enak diselimuti gebar. Cemburunya aku! Air mata tidak tertanggung dek kelopak, lalu meluncur laju membasahi telekung. Betapa kerdilnya terasa, sehingga mahu membuat pilihan pun harus meminta bantuan Allah S.W.T.
Kurasakan itulah solatku yang paling khusyuk, yang pernah aku lakukan. Tidak pernah aku merasakan diri aku sedekat ini dengan Penciptaku. Air mata semakin laju saat aku kulantunkan doa solat istikharah. Ya Allah, aku mohon pilihan kepadaMu dengan ilmuMu, aku mohon petunjuk dengan kudratMu, dan aku mohon kurniaMu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan aku tidak berdaya, Engkau Yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui, dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Aku berteleku di sejadah.
"Sesiapa yang terluka Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah,"
Aku lena dalam air mata. Nikmatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Esoknya, aku dipertemukan dengan hamba Allah yang mampu menolongku membuat pilihan. Melalui perbincangan dengannya, aku semakin jelas dengan keputusan yang bakal aku lakukan. Syukur Ya Allah kerana bebananku semakin berkurangan.
Hidup ini dibentangkan dengan pelbagai pilihan. Mahu atau tidak, kita terpaksa memilih antara dua atau lebih jalan yang terbentang. Malah, hampir kesemua rutin dalam kehidupan kita memerlukan kita untuk menilai dan memilih. Setiap pagi kita perlu memilih samada hendak bangun untuk menunaikan solat subuh atau terus sahaja lena berulitkan mimpi indah. Selain itu kita juga turut terpaksa memilih jenis lauk pauk yang ingin kita masak, terutama sekiranya kita merupakan seorang isteri dan ibu. Pendek kata kita perlu memilih untuk semua perkara yang hendak kita lakukan. Namun, kadangkala akan datang kepada kita, saat yang begitu sukar untuk kita sebagai manusia membuat pilihan apabila ia melibatkan banyak pihak lebih-lebih lagi mereka yang kita sayangi.
Kutitipkan nukilan ini dengan niat agar sesiapa yang sedang merasa tersepit, mahupun yang sedang buntu untuk memilih agar meluahkan kebuntuan tersebut kepada Allah S.W.T, salah satu caranya adalah dengan mengerjakan solat sunat istikharah. Sebagai seorang pelajar, apabila Allah S.W.T mengujiku dengan menarik semula nikmat tidurku, aku sudah terasa resah dan buntu. Apatah lagi anda di luar sana yang berjawatan tinggi dan mungkin merupakan orang-orang penting dalam sebuah organisasi, sudah pasti anda semua terpaksa membuat keputusan yang lebih besar daripadaku.Malah, kemungkinan besar keputusan itu bakal mengubah nasib hidup seseorang. Allah S.W.T pasti akan membantu kita dengan jalan-jalan yang tidak pernah terfikir oleh kita sekiranya kita rajin berdoa kepadaNYA. Hanya Dia Yang Maha Pengatur, dan Dialah Yang Mengetahui.
No comments:
Post a Comment